Wednesday, December 24, 2008

Risalah Adab Memotong Kuku


Beberapa hari yang lepas, seorang sahabt saya bertanya tentang satu risalah yang bertajuk “Adab Memotong Kuku”, risalah ini adalah terbitan Pusat Dakwah Islamiah, Brunei Darussalam. Ia memuatkan isi yang ringkas tentang adab memotong kuku.





Risalahnya memuatkan isi yang seperti begini:
  1. Bahagian Kuku Tangan
    1. Dimulai dari telunjuk tangan kanan, kemudian jari tengah, jari manis, jari kelingking berikutnya baharulah ibu jari tangan
    2. Seterusnya kelingking tangan kiri, jari manis kemudian jari tengah setelah itu jari telunjuk dan akhirnya ibu jari tangan kiri
    3. Cara atau kaifiyat memotong kuku tangan adalah mengikut SYEIKH BAIJURI

  2. Bahagian Kuku Kaki
    1. Dimulai kelingking kaki kanan dan seterusnya mengikut tertib jari sehinggalah kelingking kaki kiri
    2. Cara atau kaifiyat memotong kuku kaki adalah mengikut yang dilakukan oleh IBNUR-RIFAH

  3. Doa Ketika Memotong Kuku
    1. Saidina Ja’far Radhiallahu ‘anhu berkata:
      “Barangsiapa mengerat atau memotong kuku dan misainya pada tiap-tiap hari jumaat dan berkata ketika mengeratnya –Bismillah wa billahi wa ‘ala millati muhammadin wa aali Muhammad- Tiada gugur yang dikerat itu melainkan dengannya pahala memerdekakan seorang sahaya dan tiada sakit melainkan sakit mati”

  4. Hari-hari Yang Disunatkan Memotong Kuku
    Terdapat dalam sebuah hadith Nabi Muhammad salallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang bermaksud: Barangsiapa memotong atau mengerat kuku pada:
    1. Hari Sabtu – Mempusakai penyakit akilah (yang disebabkan banyak makan)
    2. Hari Ahad – Hilang berkah
    3. Hari Isnin – Mempunyai ‘Alim Fadhil (orang yang mepunyai ilmu dan mempunyai kelebihan)
    4. Hari Selasa – Mempusakai kebinasaan
    5. Hari Rabu – Mempusakai jahat perangai
    6. Hari Khamis – Mempusakai kaya
    7. Hari Jumaat – Mempusakai ilmu dan lemah lembut

  5. Kitab ini dipetik dari al-Jauharul Mauhub wa Munabbahatul Qulub, Juz Pertama
Namun setelah meneliti untuk seberapa ketika, saya dapati ada kepelikan dihati saya, didalam tulisan ini hanyalah pendapat saya sahaja berdasarkan ilmu yang saya pelajari, jika ada kesilapan minta diperbetulkan, wallahua’lam. Disini saya ingin membuat sedikit ulasan mengenai risalah ini:-
  1. Cara atau kaifiyat memotong kuku kaki dan tangan itu adalah hanya mengikut Syeikh Baijuri dan juga Ibn Ar-Rifah, ia bukannya dari sunnah Nabi salallahu ‘alaihi wa sallam. Berdasarkan hadith yang sahih riwayat dari Ibu kita ‘A’isha radhiallahu ‘anha, Nabi salallahu ‘alaihi wa sallam suka memulakan apa saja perkara dengan kanan termasuk sikat rambut dan lain-lain.
  2. Pada hadith mengenai doa daripada Ja’far radhiallahu ‘anhu itu tidak disertakan riwayatnya adalah riwayat siapa dan status hadithnya adalah berstatus apa. Jika sanadnya adalah sahih, namun jikah kita lihat dari sudut matannya sudah pelik, mengikut kaedah mustolah hadith, diantara tanda hadith palsu adalah sedikit kebaikan yang dilakukan banyak ganjaran yang diberi dan sedikit kejahatan yang dilakukan banyak balasan yang diberi. (Rujuk: Sahabat Pembela Sunnah, Mohd Fikri Che Hussain, ms: 16)
  3. Pada hadith yang seterusnya tentang hari yang disunatkan memotong kuku juga seperti yang diterangkan sebelum ini, hadith itu tidak menunjukkan ianya riwayat siapa dan apa statusnya, dan sekalipun sanadnya sahih, matannya sudah tentu palsu. Kerana disertakan disitu adanya hari yang kita potong kuku, kita mendapat berkah, kekayaan, kebinasaan, penyakit dan perkara yang boleh dikatakan sangat ajaib. Sedangkan apa yang diajarkan Nabi salallahu ‘alaihi wa sallam dalam hadith yang sahih, bahawa potong kuku ini adalah salah satu daripada fitrah manusia untuk memotongnya, bagaimana fitrah manusia untuk memotong kuku pada hari ahad akan kehilangan berkah? Dan pada hari lainnya ada yang mendapat kekayaan dan ilmu? Wallahua’lam

Monday, December 22, 2008

Surat untuk beberapa Salafi di Malaysia

Sekian dua tahun lebih saya membaca buku-buku tentang Islam dalam pelbagai bidang (walaupun tak kesemua habis dibaca), sedikit demi sedikit ilmu didada ini bertambah diatas Nikmat-Nya yang diberi. Terima kasih kepada guru-guru saya mahupun di IIC, atau di kuliah masjid yang dihadiri, atau para imam dan syaikh yang dimanfaatkan dari kelas-kelas pengajian, buku-buku dan web meraka.

Namun, setelah bertemu dengan beberapa individu salafi di Malaysia, kekecewaan dan hampa timbul dihati saya. Mereka dikurniakan ilmu yang sangat bermanfaat oleh Allah azza wa jalla, tapi ilmu yang dikurniakan tidak mereka terapkan didalam amalan mereka, terutama sekali didalam akhlak.

Akhlak adalah perkara yang amat penting sekali didalam ajaran Islam, Rasulullah s.a.w diutuskan antaranya untuk memperbaiki akhlak, termaktub didalam al-Qur’an perkara-perkara mengenai adab dan akhlak yang baik walaupun dengan musuh, sebab itulah para ulama’ salaf mahupun khalaf menyusun kitab-kitab hadith mahupun fiqh pasti akan menyusun satu bab yang khas mengenai akhlak. Amat dukacita sekali, beberapa individu salaf yang mengkritik para sufi dan tabligh secara keras tanpa akhlak boleh berkemungkinan menyebabkan orang yang inginkan Islam menolak mazhab Salaf oleh kerana akhlak beberapa orang individu yang mengaku salaf, mengaku berpegang teguh terhadap al-Qur’an dan Sunnah tetapi bercanggah dalam bidang akhlak.

Yang kedua, kepada sahabat-sahabat salafiku di Malaysia, janganlah anda sengaja mencari kepelikan di Negara ini, sudah maklum bahawa masyarakat Malaysia amat terkenal dengan sikap yang tak tahu menahu tentang fatwa selain mazhab imam ash-Shafi’i. Juga sudah maklum kita tentang hadith Islam akan kembali menjadi asing dimata dunia, namun janganlah kita sengaja buat suatu perkara yang pasti akan orang terasa pelik apabila melihatnya. Sebagai contoh, perihal menyentuh anjing, kita sudah tahu akan hukum menyentuhnya tapi bagi rakyat Malaysia yang berpegang dengan fatwa Imam ash-Shafi’I dalam perkara ini, janganlah seperti yang pernah saya lihat beberapa gambar di Internet, seorang niqabi membela anjing. Kita sudah tahu ianya akan menimbulkan ketidakpuas hati didalam hati masyarakat jadi janganlah sengaja kita membuatkan orang lari dari kita.

Ketiga, janganlah kita, disebabkan kita membuat satu perkara itu, kita mengharuskan atau menghalalkannya dan berkata ia mempunyai khilaf didalamnya. Seperti mendengar muzik contohnya, janganlah disebabkan kita suka mendengar muzik maka kita memilih fatwa yang mengharuskannya dan berusaha mempertahankan fatwa itu kerana hawa nafsunya yang suka mendengar muzik bukan atas nama kebenaran. Ada lagi yang saya jumpa, beralasan perginya beliau ke panggung wayang kerana jika kita tak melihat suatu cerita itu, siapakah yang akan tahu kesesatan cerita itu? Sungguh dikesali ada juga yang mengaku dirinya salaf atau pengikut sunnah berkata sebegini, tidakkah beliau tahu apakah yang ada dipanggung itu? Tidakkah beliau tahu dalam sebuah filem barat, aurat perempuan akan sentiasa didedahkan? Perlukah lagi untuk mengetahui kesesatan cerita itu kerana ia sudah jelas membenarkan kita melihat aurat wanita yang mana Islam melarangnya?