Monday, December 22, 2008

Surat untuk beberapa Salafi di Malaysia

Sekian dua tahun lebih saya membaca buku-buku tentang Islam dalam pelbagai bidang (walaupun tak kesemua habis dibaca), sedikit demi sedikit ilmu didada ini bertambah diatas Nikmat-Nya yang diberi. Terima kasih kepada guru-guru saya mahupun di IIC, atau di kuliah masjid yang dihadiri, atau para imam dan syaikh yang dimanfaatkan dari kelas-kelas pengajian, buku-buku dan web meraka.

Namun, setelah bertemu dengan beberapa individu salafi di Malaysia, kekecewaan dan hampa timbul dihati saya. Mereka dikurniakan ilmu yang sangat bermanfaat oleh Allah azza wa jalla, tapi ilmu yang dikurniakan tidak mereka terapkan didalam amalan mereka, terutama sekali didalam akhlak.

Akhlak adalah perkara yang amat penting sekali didalam ajaran Islam, Rasulullah s.a.w diutuskan antaranya untuk memperbaiki akhlak, termaktub didalam al-Qur’an perkara-perkara mengenai adab dan akhlak yang baik walaupun dengan musuh, sebab itulah para ulama’ salaf mahupun khalaf menyusun kitab-kitab hadith mahupun fiqh pasti akan menyusun satu bab yang khas mengenai akhlak. Amat dukacita sekali, beberapa individu salaf yang mengkritik para sufi dan tabligh secara keras tanpa akhlak boleh berkemungkinan menyebabkan orang yang inginkan Islam menolak mazhab Salaf oleh kerana akhlak beberapa orang individu yang mengaku salaf, mengaku berpegang teguh terhadap al-Qur’an dan Sunnah tetapi bercanggah dalam bidang akhlak.

Yang kedua, kepada sahabat-sahabat salafiku di Malaysia, janganlah anda sengaja mencari kepelikan di Negara ini, sudah maklum bahawa masyarakat Malaysia amat terkenal dengan sikap yang tak tahu menahu tentang fatwa selain mazhab imam ash-Shafi’i. Juga sudah maklum kita tentang hadith Islam akan kembali menjadi asing dimata dunia, namun janganlah kita sengaja buat suatu perkara yang pasti akan orang terasa pelik apabila melihatnya. Sebagai contoh, perihal menyentuh anjing, kita sudah tahu akan hukum menyentuhnya tapi bagi rakyat Malaysia yang berpegang dengan fatwa Imam ash-Shafi’I dalam perkara ini, janganlah seperti yang pernah saya lihat beberapa gambar di Internet, seorang niqabi membela anjing. Kita sudah tahu ianya akan menimbulkan ketidakpuas hati didalam hati masyarakat jadi janganlah sengaja kita membuatkan orang lari dari kita.

Ketiga, janganlah kita, disebabkan kita membuat satu perkara itu, kita mengharuskan atau menghalalkannya dan berkata ia mempunyai khilaf didalamnya. Seperti mendengar muzik contohnya, janganlah disebabkan kita suka mendengar muzik maka kita memilih fatwa yang mengharuskannya dan berusaha mempertahankan fatwa itu kerana hawa nafsunya yang suka mendengar muzik bukan atas nama kebenaran. Ada lagi yang saya jumpa, beralasan perginya beliau ke panggung wayang kerana jika kita tak melihat suatu cerita itu, siapakah yang akan tahu kesesatan cerita itu? Sungguh dikesali ada juga yang mengaku dirinya salaf atau pengikut sunnah berkata sebegini, tidakkah beliau tahu apakah yang ada dipanggung itu? Tidakkah beliau tahu dalam sebuah filem barat, aurat perempuan akan sentiasa didedahkan? Perlukah lagi untuk mengetahui kesesatan cerita itu kerana ia sudah jelas membenarkan kita melihat aurat wanita yang mana Islam melarangnya?

0 comments: