Sunday, December 23, 2007

Analisis Status Wudhu' Apabila Menyentuh Wanita Ajnabi Atau Sebaliknya


Firman Allah subhana wa ta'ala:

….dan jika kamu Junub (berhadas besar) maka bersucilah Dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau Dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum Dengan tanah - debu Yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu Dengan tanah - debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur….” (al-Maa’idah : 6)

Ayat ini adalah dalil bagi tayammum dan juga diketahui orang ramai bagi imam al-Syafi’i rahimahullah dan mazhabnya untuk mengatakan bahawa batalnya wudhu’ seseorang apabila menyentuh wanita bukan mahram ( لمستم النساء /laamastum al-nisa’). Namun mazhab yang lain tidak pula mengatakan ianya batal? Mengapa ini terjadi sedangkan sudah terang secara zahirnya didalam al-Qur’an al-Karim bahawa jikalau menyentuh wanita dan tiada air untuk berwudhu’ maka diarahkan untuk bertayammum.

Sentuh menurut kamus inggeris adalah “Make physical contact with, come in contact with etc.” dan perkataannya didalam bahasa ‘Arab pula adalah ( لمس / lamasa). Jika diteliti didalam ayat surah al-Maa’idah ayat ke-6 itu, firman Allah subhana wa ta’ala bukanlah ( لمس / Lamasa ) tapi adalah ( Laamasa ) terdapat harkat disitu dan didalam bahasa ‘Arab juga ada perkataan ( لامس / Laamasa ) yang bermaksud bersetubuh ( جماع / Jima’ / Sexual Intercourse ) seperti adat orang ‘Arab apabila mengatakan ( لامست المرأة ) yang bermaksud “saya bersetubuh dengan wanita itu". Disini ‘Abdullah Ibn ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma sebagai pakar tafsir mengatakan bahawa ayat ( لمستم النساء ) bermaksud bersetubuh bukanlah sentuhan, pendapat ini juga dipegang oleh al-Imam Abu al-Fida Ibn Kathir rahimahullah didalamnya tafsirnya dalam surah al-Maa’idah, bab Description of Tayammum (saya merujuk Tafsir Ibn Kathir didalam Bahasa Inggeris terbitan Darrusalam).

Pendapat ini dikuatkan lagi dengan firman Allah subhana wa ta’ala didalam surah Ali 'Imran:

Maryam berkata:" Wahai Tuhanku! Bagaimanakah Aku akan beroleh seorang anak, padahal Aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?" Allah berfirman; "Demikianlah keadaannya, Allah menjadikan apa Yang dikehendakiNya; apabila ia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka ia hanyalah berfirman kepadanya: ` Jadilah Engkau ', lalu menjadilah ia.” (Surah Ali ‘Imran : 47)

Lagi Allah subhana wa ta’ala berfirman didalam surah al-Maryam:

Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah Aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal Aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan Aku pula bukan perempuan jahat?” (Surah al-Maryam : 20)

Didalam ayat-ayat al-Qur’an Allah subhana wa ta’ala menggantikan perkataan bersetubuh atau persetubuhan dengan sentuh, ada juga pendapat mengatakan bahawa ia bagi menjaga al-Qur’an daripada perkataan yang kurang elok – Wallahua’lam -.

Pendapat ini juga disokong dengan hadith-hadith yang sahih mengatakan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam mencium Isteri-Isteri radhiallahu ‘anhunna baginda tanpa mengulangi wudhu’ selepas itu dan terus pergi menunaikan solat.

Berkata Umm al-Mu’minin ‘A’isha radhiallahu ‘anha: “Nabi sallahu ‘alaihi wasallam telah mencium isteri-isterinya. Kemudian baginda solat tanpa memperbaharui wudhu’nya.” (Hadith riwayat Abu Dawud dalam bab Thaharah hadith no. 179, mempunyai banyak versi melalui sanad yang berbeza.)

Berkata Umm al-Mu’minin ‘A’isha radhiallahu ‘anha: “Satu malam, aku kehilangan Rasulullah daripada tempat tidurku. Aku telah menyentuh lalu meletakkan tanganku ke atas kedua belah tapak kakinya ketika baginda sedang sujud……” (Hadith riwayat Muslim dalam Bab Solat hadith no. 986)

Demikianlah analisis terhadap status wudhu’ apabila menyentuh wanita ajnabi atau sebaliknya, sebagai penutup, hukumnya adalah tidak batal berdasarkan tafsiran bersama ayat al-Qur'an yang lain, hadith dan athar (kata-kata para sahabat radhiallahu 'anhum dan para tabi'in rahimahullah). Namun walaupun hukumnya tidak batal wudhu’nya perlu ditekankan hal ini berbeza dengan hukum menyentuh wanita ajnabi dengan sengaja yang hukumnya adalah haram. Wallahu ta'ala a'lam.

0 comments: